PENYATUAN

Heboh di waktu artikel ini ditulis tentang penyatuan kaum Melayu.

Penulis berpendapat ini tidak akan terjadi dalam waktu terdekat.

Asas pendapat penulis harus diterangkan dalam bentuk analogi di bawah.

Ada tiga orang kaum Melayu: A, B dan C.

Kesemuanya datang bermesyuarat untuk berbincang tentang penyatuan.

Melayu A datang dengan membawa beg berisi wang USD1,000.00
Melayu B datang dengan membawa beg berisi wang GBP1,000.00
Melayu C datang dengan membawa beg berisi wang EUR1,000.00

Ketiga-tiganya bertegas bahawa matawang yang mereka bawa itu lebih berharga dari yang lain. Masing-masing bertegas harus menggunakan matawang mereka. Barulah penyatuan dapat direalisasikan. Tiada yang mahu mengalah.

Mesyuarat pertama menemui jalan buntu kerana masing-masing berkeras akan penggunaan matawang yang mereka bawa.

Setelah beberapa lama, ada suara bijak yang bukan dari kalangan mereka mencadangkan supaya kesemua matawang ditukar kepada Ringgit Malaysia. Gunakan RM supaya penyatuan dapat menjadi kenyataan.

Ketiga-tiganya bersetuju. Maka, ditukarlah kesemua matawang kepada RM dengan kadar tukaran semasa.

Bermesyuaratlah mereka semula dengan membawa RM. Mengikut kadar tukaran sedia ada, sudah pasti ada yang mendapat lebih nilai dalam bentuk RM.

Yang mendapat lebih nilai itu bertegas bahawa harus mengikut suaranya. Seperti biasa, yang lain membantah.

Maka, mesyuarat kedua pun buntu tanpa penyelesaian kerana ego masing-masing. Sesudahnya, penyatuan yang dicanangkan berkubur begitu sahaja.

Itu baru analogi tentang penyatuan SATU kaum...
Belum lagi bercerita tentang penyatuan SEMUA kaum...
Belum lagi bercerita tentang penyatuan SEMUA negeri...